Translate

Wednesday 13 August 2014

Give Him your heart and everything else will be fine



Nur Syahirah nama yang diri ini takkan lupakan. Masih terbayang wajahnya, kemanisan senyumannya. Seorang gadis yang berbangsa Kadazan.

Pagi itu aku bersiap-siap untuk berjumpa dengannya.  Fikiranku kembali ke titik perkenalan kami.

Jam menunjukkan aku telah terlewat ke tempat kerja. Aku berlari-lari anak untuk mempercepatkan masaku untuk sampai ke sana.

Cuti semester ini, aku mengambil keputusan untuk berkerja sambilan. 2 bulan lebih cuti semester inginku manfaatkan sebaiknya. Bulan puasa bukan penghalang untukku mencari pengalaman di sana.

Aku melihat ke kiri dan kananku , aku menjadi kekok melihat semua pekerja lain melihatku yang hampir di basahi peluh.

“Assalamualaikum..awak pekerja baru?”  seorang gadis yang berkulit putih, bertudung syria labuh memberi salam kepadaku.


“Walaikumsalam..er..ya saya pekerja baru. Hope dapat bagi tunjuk ajar.  Saya Liana” Aku menghulur tangan kepadanya tanda salam pengenalan.

“Insya-Allah..boleh. Saya Syahirah” dia melemparkan senyuman kepadaku.

Syahirah banyak membantuku melaksana tugas-tugasku tanpa sedikit pun keluhan.

Masihku ingat kejutan yang aku terima ketika mengenalinya. Ketika itu, waktu rehat untuk pekerja, oleh kerana bulan Ramadhan, kami hanya rehat sebentar untuk solat. Aku melihat Syahirah kelihatan tidak bermaya.

“Awak sakit?”

“Taklah..Cuma tekak ni rasa kering mungkin sebab tak biasa puasa” balasnya sambil tersenyum.

“Oh macam tu. Tahun lepas dapat puasa penuh? Faham-fahamlah lumrah wanita yang Allah kurniakan. Memang beruntungkan kalau dapat puasa penuh.”

Namun, pertanyaanku hanya dibalas dengan senyuman. Dia tunduk sebentar. Aku tertanya-tanya. Adakah soalanku itu menghiris hatinya?

“Er..maaflah kalau saya ada tersalah cakap.”

“Eh tak ada apa-apalah. Janganlah risau. Sebenarnya..” dia seolah-olah berfikir. Ada sesuatu yang dia 
sembunyikan.

“Sebenarnya, ramadhan tahun ini puasa yang pertama dalam hidup saya.”

Aku terkaku sebentar. Masih kebingungan. Tiba-tiba satu perkataan terlintas difikiranku.

“Awak mualaf??”

Subhannallah. Aku mengengam tangannya. Hampir jatuh air mataku.

“ Saya baru masuk islam 5 bulan lalu dan ini puasa saya yang pertama” keceriaan terpancar di wajahnya.

 “Ya Allah..kenapa tak bagitahu saya dari awal lagi. Alhamdulillah bertambah saudara islam saya.”

Hari demi hari ukhuwah kami semakin erat. Mengenalinya umpama matahari yang menyinari hari-hari saya 
berkerja di sana. Indah akhlaknya dan sopan santun orangnya.

“Syahirah...” Aku sedikit teragak-agak.

“Ada apa Liana” katanya dengan lemah lembut.

“Sejujurnya saya kagum sangat dengan awak”

“Kagum? Saya hanya insan biasa Liana”

“Sebab bukan mudah insan yang terpilih seperti awak kembali ke jalan yang sebenar.”

“Alhamdulillah Liana. Saya bersyukur sangat dapat kenal islam. Ya, saya akui jalan saya sudah jauh tersasar dari panduan yang sebenar

Pada awalnya, memang saya takut untuk melangkah masuk ke agama yang Allah redhai ini. Terlalu banyak saya fikirkan, terlalu banyak saya takutkan. 

Tapi liana, bila saya dah pegang islam, dah kenal islam, tiada apa yang saya takutkan. Apa yang ada dalam fikiran saya hanya ada Allah. Hanya Dia patut saya tunduk. 

Dan saya yakin dan percaya Allah akan sentiasa jaga saya. Semua benda yang saya takutkan seperti lenyap di fikiran. Seolah-olah Allah tiupkan dalam diri ini semangat yang baru. 

Hakikatnya, tiada siapa yang boleh bermain dengan hati kita, kerana ia milik kita! Kita boleh buat apa saja dengan hati kita, kerana ia milik kita. 
Orang lain boleh kunci saya dalam penjara, kurung dalam kotak, buang dalam laut, tapi mereka tidak dapat mengawal hati saya, kerana ia milik saya. 

Dan hanya satu perkara Allah mahu dari kita, iaitu hati kita. 

Give Him your heart and everything else will be fine. 

Saya tenang Liana dalam agama ini. Terlalu tenang sehingga sukar diungkapkan dengan kata-kata.”

Aku menahan perasaanku saat itu. Terkelu lidah ini. Kata-kata yang terlalu menusuk dihati.

“Saya harap awak dapat bagi saya tunjuk ajar” tambahnya lagi.

“Cuma saya kurang senang jika masyarakat anggap seseorang mualaf memeluk islam kerana berkahwin. 
Ramai sahabat lama saya dahulu, memegang persepsi itu. Memang tidak dinafikan itu salah satu faktor untuk orang lain. Saya harap persepsi itu dapat ditukar. Biarlah persepsi pertama orang melihat seseorang itu memeluk islam  adalah kerana tertarik dengan keindahan islam.

Aku mengangguk setuju dengan pendapatnya.

*********************************
Akhirnya sampai ke sepuluh malam terakhir ramadhan.

“Liana, Allah tu baikkan?” itulah pertanyaan yang sentiasa di bibir Syahirah.

“Yup, terlalu baik. Cuma kita sahaja yang selalu lupakan kebaikan-Nya”

“Itu saya sangat setuju. Allah bagi kita banyak ujian bukan untuk buat kita lemah tapi untuk ingatkan kita untuk ingat pada Dia, kerana Dia kunci segala kekuatan”

“Liana, ada satu hakikat yang saya baru sedar dalam hidup ini. Kehidupan kita sebenarnya ada paksinya”

“Paksi kehidupan?”

“Hidup kita berputar dalam satu paksi yang sama dan ada penghujungnya. Semuanya bergerak dalam paksi yang diatur oleh-Nya. Manusia ada paksinya sendiri, haiwan dan juga tumbuhan ada paksi kehidupannya. 

Bermula dengan alam rahim, lahir kedunia, dan akhirnya meninggal dunia. Begitu juga tumbuhan yang bermula dengan bijih benih, bertunas, bercambah menjadi pokok, mengeluarkan buah dan akhirnya akan mati juga.”

“Hidup ini hanya sementara dan mungkin paksi kehidupan kita akan berhenti walaupun disaat belum lengkap putarannya” balasku sambil memandangnya.

“Syahirah, keluarga awak dapat terima tak awak masuk islam?” aku memberanikan diri untuk bertanya soalan itu.

“Hmm..” awan mendung terlihat diwajahnya. Dapatku jangka jawapannya.

“Tak apalah Syahirah. Banyakkan doa, semoga hati mereka terbuka untuk terima awak dan islam” aku memberi secebis harapan untuknya.

“Parents saya dah bercerai. Ayah saya dah ada keluarga baru. Sejujurnya, ayah saya dah tak dapat terima saya sebagai anak dia. Dia dah tak nak ada hubungan dengan saya sejak saya bertukar agama. Hati siapa tidak terguris jika digelar sebagai anak yang tidak mengenang budi”

“Hmm..ibu awak macamana?”

“Ibu saya bukan orang tempatan dan visa dia pun dah tamat. Tapi dia terpaksa bersembunyi di semenanjung. Kos untuk urus visa yang tamat tempoh terlalu mahal. Saya sendiri tak dapat bantu ibu saya Liana” Syahirah menahan sebak didada.

“Alhamdulillah, hati ibu saya mula tertarik dengan islam. Cuma keadaan dan situasi menghalang saya untuk mengajar dia lebih banyak tentang islam. Tapi saya tahu Allah akan bantu saya Liana. Allah pasti bekalkan saya kekuatan” matanya memancarkan sinar harapan.

 “Ya Allah, bila aku melihat Syahirah. Tiada keluhan agar ujiannya diringankan melainkan dia meminta dari-Mu untuk dikuatkan. Subhannallah..ingin ku capai iman sepertinya” getis hati kecilku.

********************
Hari terakhir aku berkerja disana adalah sehari sebelum syawal.

“Liana, hope jangan lupakan saya kalau dah habis belajar nanti.” Syahirah memelukku dengan mesra.

“Saya takkan lupakan awak, dan saya akan sentiasa titipkan doa agar kita dapat berjiran di syurga nanti. 
Sama-sama kita usahakan ok?”

“Insya-Allah saya akan cuba.”

“So, tahun ni awak beraya kat mana?”

“Kalau tiada aral melintang, saya beraya kat rumah keluarga angkat saya tahun ni. Pertama kali saya rasa debaran menanti syawal Liana. Nanti jemputlah datang ke rumah keluarga angkat saya. Nanti saya bagi alamatnya.”

Kami bersalaman sebelum berpisah. Air mata tidak lekang di pipi. Sudah menjadi adat sebuah pertemuan pasti ada perpisahan.

****************

Lamunanku terhenti. Akhirnya, aku sampai ke rumah keluarga angkatnya. Aku memeriksa semula alamat yang diberi agar tidak salah rumah untuk beraya.

“Assalamualaikum..” aku memberi salam.

“Walaikumsalam..” seorang wanita yang sedikit berusia menjawab salamku. Mungkin ibu angkat Syahirah.

“Saya Liana. Kawan Syahirah. Dia ada tak?” soalku sambil bersalaman dengannya.

“Oh..Liana. Syahirah selalu cerita pasal kamu. Masuklah nak.” Mesra layanannya membuatkan aku tidak lagi kekok.

“Duduklah dulu, nanti ibu buatkan air” dia mengelarkan dirinya ibu. Aku selesa dengan layanannya.

“Baiklah. Terima kasih ibu.”

Ibu membawa air bandung serta kuih muih. Manis senyuman keibuannya. Pasti Syahirah gembira bersama keluarga angkatnya ini.

“Ibu, Syahirah masih tinggal disini? Rindu saya nak jumpa dia”

Ibu mendiamkan diri seketika.

“Sebenarnya ayah Syahirah jatuh sakit 2 hari lepas. Baru semalam Syahirah balik ke kampungnya di Papar untuk lawat ayahnya. Hmm..makcik risau ayahnya masih tak dapat terima Syahirah”

“Makcik, biarlah kita sama-sama berdoa agar hati ayah kandung Syahirah dapat terima Syahirah kembali.  Syahirah memang seorang gadis yang berakhlak yang baik, mungkin dengan akhlaknya itu ayahnya tertarik dengan islam dengan izin Allah. Sama-sama kita doakan”.

“Amin.Makcik pun berharap begitu”.

Aku merenung sehelai kertas puisi yang dikarang oleh Syahirah. Ibu memberikan kepadaku tadi. Ada sedikit air mata jatuh saat membaca puisinya.

Ya Allah jgn lah Kau tarik hidayah yg telah Engkau berikan kepada ku,

tanpa hidayah Mu ya Allah aku mungkin lemas,

di lambung ombak keseronokan dunia yg bersifat sementara,

Bantulah aku Ya Allah,

Aku tidak mempunyai kekuatan selain Mu ya Allah,

Tuhan Yg Maha Esa,tiada standing dgn Mu Ya Allah,

Ku pohon CINTA dari MU ya Allah,

Permudahkanlah aku bertahajud,

meluahkan kata-kata cinta,

Jgn Kau keraskan hati ku,

Sehingga hati ini tidak mampu menangis krn Mu ya Allah

Biarlah air mata ini menjadi saksi pertemuan ku dgn Mu,

Tanda aku seorang yg berdosa yang tidak mampu mengapai cinta Mu…

Yg sering lupa akn CINTa Mu

Yg sering dalam lingkaran kehinaan

Biar pun beribu sujudku

Takkan mampu membayar nikmat Mu yng Engkau berikan,

Semenjak ku menhirup angin dunia sehingga ke hari ini,

Bantulah aku ya Allah,

Jadikan Kekasih Mu,

Rasulullah idola yg paling aku sayangi,

Seseorang yg aku ikuti sehingga nafas terakhir,

perkenanlah Ya Allah,

Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Hari itu, walaupun misiku tidak tercapai untuk berjumpa dengan Syahirah, namun aku mendoakan misinya ke kampung tercapai.

No comments:

Post a Comment