Aku membetulkan rambutku yang ditiup angin. Cuaca panas begini
pasti merosakkan rambutku! Aku melangkah masuk ke surau kolej.
Sekelip mata, aku terasa diperhati. Janggal? Aku sudah biasa. Aku
meletakkan beg galasku di sudut. Malang untukku, telekungku terdampar di birai
katilku di bilik. Aku terlupa membawanya.
Seusai mengambil wuduk, aku mencari jika ada telekung yang tidak
digunakan. Dan malang sekali lagi, tiada telekung untukku.
Seorang wanita yang sibuk membetulkan tudung bawalnya memandang
sinis kepadaku. Aku melemparkan senyuman tawar untuknya.
"Kenapa tak solat je dengan rambut terdedah? kalau kat depan
manusia tak malu buka aurat, takkan nak jadi hipokrit depan Allah? Sedarlah
diri tu sikit" senyumanku di balas dengan kata-katanya yang sinis.
Aku hanya mendiamkan diri. Kesabaranku sedikit tercalar.
"Kenapa diam? Terkena batang hidung sendiri ke? Perempuan
hipokrit macam kamu ni lah yang suka palitkan dosa kamu tu, kat kami yang
bertudung ni" suaranya sedikit tinggi mencabarku.
"Hello miss?? Saya tak kacau hidup awak pun! Jangan menghukum
sebelum menilai!" hatiku mula berang.
"Dari luar pun dah dapat nilai. Dah diluar pun tak terjaga,
apalagi hati yang kat dalam. Luaran menunjukkan dalaman. Perempuan yang
bertudung sudah tentu lebih baik daripada yang tak reti-reti pakai tudung.
Betul tak?" dia menjelingku sambil tersenyum dengan rakannya disebelah.
Aku mengengam jemariku menahan amarah dihati. Aku tahu kerana
tidak bertudung aku sering diasingkan oleh teman sekolej. Namun, layakkah
mereka menghinaku dikhalayak ramai?
"Assalamualaikum saudari berdua" seorang wanita
bertudung litup dan labuh menhampiri kami dengan senyum dihias dibibirnya.
"Maaf jika saya mencelah, namun saya rasa kurang enak jika
bertengkar di rumah Allah ni. Rumah Allah ni kan tempat yang mulia dan
tempat mencari ketenangan" dia memandang kami berdua dengan kemesraan.
"Tempat ni memang mulia, tapi orang tu yang kotorkan
kemuliaan surau ni dengan rambut mengurai dia tu. Dah nak mati baru nak bertudung
kot" wanita itu meneruskan sindiran terhadapku.
"Maafkan saya saudari. Saya kurang setuju tindakan saudari
memperkecilkan wanita yang tidak bertudung. Kita perlu ingat, menutup aurat
tidak cukup jika akhlak yang baik tidak menjadi pelengkap "
"Jadi awak maksudkan tak bertudung tak salah kalau akhlak
baik? Diorang ni hipokrit dengan Pencipta kita"
" Tapi kenapa perlu menghukum? Kenapa perlu meminggir
daripada menghampiri? Sepatutnya, kita tidak perlu bangga dengan tudung yang
menutup, kerana jika kita mampu bertudung hari ini mungkin besok juga kita
boleh tidak bertudung. Hiaskan yang bertutup dengan kerendahan hati dan akhlak
yang baik. Jika kita memulaukan mereka yang tidak bertudung, siapa yang akan
bantu mereka?"
Aku hanya mendiamkan diri disisinya. Mulutku terkunci, hatiku
seperti diketuk dengan suatu perasaan yang aneh. Tidak pernah seorang wanita
seagamaku memihak kepadaku dalam keadaanku yang dhaif ini.
Wanita yang tadi deras menyindirku kini hilang kata.
"Mendoakan lebih baik daripada menghina. Doa seorang saudara
muslim yang mendoakan saudaranya tanpa diketahui kan mustajab? Lebih baik kita
sama-sama mendoakan dia daripada bertikam lidah yang mungkin saja akan buat
mereka lebih jauh. Mungkin saja suatu hari nanti dia lebih mulia daripada kita.
Sama-sama kita muhasabah diri kita, saya dan saudari masing-masing tahu
kelemahan dan aib diri sendiri. Walaupun bertudung, kita kadang-kadang tetap
tersalah langkah. Jadi layakkah kita katakan yang bertutup itu lebih mulia
daripada yang belum terbuka hati untuk menutup?" Sungguh kata-katanya buat
airmataku jatuh.
Wanita bertudung bawal kelabu itu menarik tangan rakannya lantas
berlalu pergi. Aku mengesat air mata yang berderai dipipi.
"Saudari nak pinjam telekung saya? Saudari pakailah, kita
boleh solat berjemaah bersama" wanita itu tidak lekang dengan senyuman.
Kami solat berjemaah bersama. Seusai solat, kami titipkan doa
bersama. Hatiku tersentuh mendengar sepotong doa yang beliau bacakan;
" Ya Allah
Pemilik hati kami, berilah kami hidayah-Mu dan tetapkanlah hidayah itu dihati
kami. Terangi hati kami sepertimana Engkau terangi bumi ini dengan cahaya
matahari-Mu, jangan Ya Allah Engkau gelapkan hati kami seperti gelapnya dimalam
hari. Ya Allah, janganlah Engkau sesatkan hati kami setelah kami Engkau
beri petunjuk kami, berilah kami rahmat, sesungguhnya Engkau adalah Maha
Pemberi. "
Airmataku tanpa disedari bertitikkan di pipiku. Dadaku seakan-akan
menahan sebak. Inginku menangis sepuasnya disitu. Apakah perasaan ini?
"Saudari tak apa-apa? Eh maafkan saya, saya lupa perkenalkan
diri. Saya Humairah" dia menghulurkan tangannya lalu memberi dakapan
kepadaku.
"Saya Liana. Terima kasih sebab sudi tolong saya tadi. Saya
ingat orang macam awak, tak nak bergaul dengan saya" Aku perlahan-lahan
mengemaskan sejadah dihadapanku, airmataku segeraku lapkan.
"Tiada yang membezakan kita selagi kita dalam agama yang
satu, Tuhan yang Satu. Saya harap awak tak ambil hati dengan kata-kata saudari
tadi" dia memandangku dengan penuh kemesraan.
"Saya dah maafkan dia dan doakan dia. Saya tahu saya tidak
layak berdendam, siapalah saya ini Humairah" aku menundukkan pandangan.
Bermula dengan kata-kata Humairah tadi, "doa yang tidak diketahui
oleh saudara sendiri adalah makbul" aku terapkan dihati kerana mendalamnya
kata-katanya itu dihatiku.
"Alhamdulillah Liana. Subhanallah, indahnya akhlakmu"
"Tapi..saya tak bertudung, layakkah akhlak saya dikatakan
cantik?"
"Akhlak tu akan lebih cantik jika kamu berusaha untuk menutup
aurat. Saya tahu perubahan itu memerlukan masa tapi kita perlu ingat ,masa
tidak menunggu kita" Humairah mengengam tanganku dengan lembut.
"Sebenarnya dalam hati ini membuak-buak ingin bertudung sebab
saya malu kat Allah. Cuma, keadaan sekeliling kadang-kadang buat saya tawar
hati. Lihat saja orang yang bertudung seringkali menunjukkan gambaran islam
yang salah. Bertudung tapi masih buat benda Allah larang. Saya tidak mahu orang
lihat diri saya baik hanya sebab saya bertudung." aku meluahkan isi hati
yang terpendam selama ini.
"Bertudung atau yang lebih tepat sekali menutup aurat adalah
perintah Allah. Allah tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Sebenarnya jika
kita niatkan menutup aurat kerana "sebab-sebab yang lain" mungkin
akhlak kita tidak setanding dengan cara pemakaian kita. Namun jika niat kita
menutup aurat benar-benar untuk Allah dan hanya untuk-Dia. Insyallah, pemakaian
kita yang menutup aurat setanding dengan akhlak kita di depan Allah dan
manusia"
Aku tersentap dengan kata-katanya. Jawapan yang selama ini aku
tercari-cari.
"Tapi macamana jika saya bertudung tapi masih ada yang
mengeji dan memandang negatif?" aku utarakan kerisauan yang sering
menyebabkan penanguhan aku untuk bertudung.
"Lagu di radio kita boleh off,
tapi mulut orang takkan pernah kita dapat off.
Selagi apa kita niatkan selaras dengan kemahuan-Nya tiada apa yang jadi
penghalang kita. Saya sendiri pada awal dahulu sering dipersoalkan mengapa
memakai tudung yang labuh sedangkan ibubapa saya bukannya ustaz dan ustazah.
Tapi hanya satu pengangan saya, bertudung bukan "sebab-sebab yang
lain" tapi hanya untuk Pemilik Cinta, iaitu Allah"
"Saya mahu jadi seperti kamu" kataku secara jujurnya.
"Tak perlu menjadi saya tapi jadilah seperti yang Allah mahu.
Sebab mungkin saja saya berubah ke arah sebaliknya" Wajahnya membuat
hatiku tenang.
Terasa sesuatu kekuatan tertiup didalam diri. Ya, aku perlu
berubah, dan mesti berubah. Aku nekad!
"Maafkan saya, saya perlu pergi dahulu. Kejap lagi saya ada
kuliah kat fakulti. Semoga dapat bertemu lagi. Assalamualaikum Liana" kami
bertukar salam. Aku hanya memerhatikannya sehingga dia hilang dari pandangan.
"Ya Allah..terima kasih kerana dengan izin-Mu, dia dapat
mengetuk hati ini. Hati ini benar-benar terasa ‘dibangunkan untuk berubah’
. Aku mahu berubah ke arah wanita yang sempurna menutup
aurat. Kini baru aku percaya, akhlak yang baik bukan saja boleh merubahkan diri
sendiri menjadi baik bahkan dapat menarik orang yang jahil seperti aku menjadi baik.
Terima kasih Ya Allah...."
Artikel ini saya kongsikan juga di akuislam.com.
Semoga bermanfaat, ingatan untuk semua terutama untuk diri saya
No comments:
Post a Comment